ELLA
Ella atau nama sebenarnya Nor Zila binti Haji Aminuddin, lahir 31
Julai 1966 di Gelugor, Pulau Pinang dan telah dibesarkan di Klang,
Selangor. Pada zaman persekolahannya, beliau sering diundang menyanyi
dan membuat persembahan pada setiap majlis yang diadakan di sekolahnya.
Ella telah menamatkan pengajiannya sehingga tingkatan lima di SM Tengku
Ampuan Rahimah, Klang, Selangor. Sebelum menceburi bidang seni, Ella
sering membuat persembahan di kelab malam dan lounge di sekitar Lembah
Klang. Setelah mengadakan persembahan di beberapa kelab tersebut, Ella
telah dilamar oleh kumpulan iaitu yang menggelarkan diri mereka `The
Boys’ yang juga merupakan penyanyi kelab malam. Akhirnya Ella bersetuju
untuk bergabung dengan kumpulan tersebut, maka lahirlah `Ella & The
Boys’.
Karier Awal (1983-1985)
Di zaman persekolahannya, Ella mengakui tidak begitu menyerlah dalam
bidang akademik dan gagal mendapat keputusan yang baik dalam peperiksaan
SPM (Sijil Pelajaran Malaysia) pada tahun 1983. Namun, beliau tekad
mengambil peperiksaan sekali lagi dan masih lagi gagal mendapat
keputusan yang memuaskan. Tetapi semua itu bukan halangannya untuk terus
berjaya dalam hidupnya. Sebaik saja selepas menduduki peperiksaan SPM
1983, beliau telah bergabung dengan band Moonracker. Namun, ia hanya
bertahan selama dua tahun sahaja. Ella tetap meneruskan minatnya dalam
bidang nyanyian dengan mengadakan persembahan di hampir semua lounge dan
kelab malam di seluruh Lembah Klang. Setelah mengadakan persembahan di
serata tempat, akhirnya telah menemui sekumpulan Band iaitu The Boys.
Ketua Band The Boys, Lokman Idris atau nama samarannya Lord telah
tertarik dengan suara dan gaya persembahan Ella. Beliau telah bercadang
dengan Ella untuk mengambil Ella sebagai Vokalis Utama The Boys.
Akhirnya Ella menerima lamaran Lord dan terciptalah kumpulan Ella &
The Boys.
Zaman Kegemilangan Ella & The Boys (1985-1988)
Tahun 1985 adalah bermulanya era kegemilangan Ella & The Boys
apabila berjaya mencipta populariti dalam masa yang singkat sekali gus
berjaya meletakkan nama Ella & The Boys setaraf dengan Search,
Wings, Ekamatra dan Slam. Nama Ella telah mula meniti di bibir peminat
di Malaysia dan menjadikan beliau penyanyi rock wanita terunggul ketika
itu. Pada 1987, Ella telah diberi gelaran Ratu Rock Malaysia oleh para
wartawan dan juga peminat oleh kerana beliau merupakan satu-satunya
penyanyi wanita Malaysia yang berjaya menembusi muzik rock ketika itu.
Tahun demi tahun, Ella & The Boys terus unggul di persada muzik
rock tanah air. Pelbagai undangan diterima di seluruh tempat dan juga
mengadakan beberapa konsert sehinggalah kelab malam yang sentiasa
menjadi tempat mereka mengadakan persembahan telah hangus terbakar.
Punca terbakarnya kelab malam tersebut adalah disebabkan oleh sikap iri
hati seseorang terhadap kejayaan yang dikecapi oleh Ella & The Boys.
Namun, mereka tetap tabah sehinggalah Ella mengambil keputusan untuk
meninggalkan kumpulan The boys dan bergerak solo pada 1988. Pada
mulanya, sedikit pertelingkahan terjadi apabila Ella menyuarakan
hasratnya itu kepada anggota kumpulan the Boys yang lain. Lord akhirnya
akur dan bersetuju membenarkan Ella bergerak solo. Meskipun tidak lagi
bersama The Boys, tetapi Lord dan ahli anggota yang lain tetap
bekerjasama dengan Ella.
Pada 1988, Ella telah berhijrah ke syarikat rakaman WEA (kini Warner
Music) dan telah menghasilkan album solo pertamanya, Pengemis Cinta.
Album tersebut telah berjaya mencapai jualan melebihi 100,000 unit.
Bintang Mula Bersinar (1989-1993)
Nama Ella semakin hari semakin bersinar dan setiap album yang dihasilkan
pasti berjaya dengan jumlah pengedaran yang cukup laris di pasaran.
Pada tahun 1989, beliau telah bekerjasama dengan beberapa artis dalam
menjayakan sesebuah konsert. Antara konsert yang telah dijayakan oleh
Ella ialah Konsert Kotaraya, Konsert Seni dan Suara dan Konsert Rock
Salem. Pada 1990, Ella telah menghasilkan album solo keduanya, Puteri
Kota yang telah mengetengahkan dua single popular, iaitu Tiada Tangis
Lagi dan Puteri Kota. Dua lagu tersebut telah dijadikan lagu tema dalam
filem pertama lakonan Ella, iaitu Bayangan Maut. Pada tahun yang sama,
Ella juga telah menghasilkan album ketiganya, iaitu Identiti. Lagu Sepi
Sekuntum Mawar Merah merupakan single paling popular daripada album
tersebut dan sekaligus telah melonjakkan nama Ella sebagai penyanyi
wanita rock paling popular.
Menerusi lagu tersebut, Ella berjaya mara ke peringkat akhir Anugerah Juara Lagu 1991.
Ella bukan saja berjaya mencipta populariti di Malaysia, malah
namanya juga telah berjaya menembusi industri muzik di Indonesia apabila
album duet beliau bersama penyanyi terkenal Indonesia, Deddy Dores
telah berjaya dijual 100,000 unit di negara tersebut. Ramai yang
berpendapat, keunikan uara dan bakat yang dimiliki Ella adalah faktor
yang mampu menarik perhatian peminat di Indonesia.
Pada 1992, Ella berhijrah pula ke EMI Malaysia dan telah menghasilkan
album keempatnya yang berjudul Ella 30110. Album ini dianggap sebagai
album Ella paling berjaya pernah diterbitkan kerana telah mencipta
sejarah sebagai album pertama yang telah mencapai jualan tertinggi dalam
masa yang sangat singkat. Hampir kesemua lagu dalam album tersebut
telah berjaya menjadi single popular. Kelahiran album ini sebenarnya
telah memberikan impak yang begitu besar terhadap karier nyanyian Ella
sepanjang bergelar anak seni. Sebagai penghargaan dan hadiah bagi
peminatnya yang telah memberi sokongan terhadap album ini, Ella telah
mengadakan konsert solo pertamanya, iaitu Konsert Ella 30110 di Stadium
Negara. Konsert tersebut telah berjaya meninggalkan `kesan’ apabila
berjaya menghimpunkan 10,000 peminat yang hadir bagi memberi sokongan
kepada Ella. Ia sekaligus meletakkan nama Ella sebagai penyanyi wanita
terlaris pada tahun tersebut.
Ella merupakan penerima Anugerah Artis Wanita Paling Popular menerusi Anugerah Bintang Popular (Berita Harian) 1993.
Zaman Kegemilangan Ella (1994-1995)
Tahun 1994 adalah tahun yang paling bermakna dalam karier Ella selepas
hampir sedekad bergelar anak seni. Ia dianggap kemuncak dalam kerjaya
seni Ella apabila beliau telah berjaya merakamkan sebuah album killer
iaitu Ella USA. Album yang dirakamkan sepenuhnya di Amerika Syarikat ini
sekaligus telah meletakkan Ella sebagai penyanyi pertama dari Malaysia
yang berjaya merakamkan album penuh di Amerika Syarikat. Pelbagai ujian
dan cabaran yang dihadapinya sepanjang menjalankan proses rakaman di
Amerika Syarikat tetapi segala-galanya dapat diatasi dengan semangat dan
jiwa kental penyanyi kecil molek ini.
Setelah sebulan Ella berada di sana, akhirnya beliau berjaya pulang
ke tanah air dengan membawa hasil yang membanggakan. Album Ella USA
telah berjaya menduduki tempat pertama dalam Carta RIM sebagai album
paling laris di pasaran. Kesemua lagu daripada album ini telah menjadi
single yang popular. Album tersebut berjaya mencapai jualan melebihi
350,000 unit. Penjualan album ini menjadikan Ella sebagai dilabel
sebagai penyanyi wanita paling laris dari segi penjualan album.
Kejayaan jualan album ini melonjakkan Ella sebagai penyanyi muda yang
berstatus jutawan dan merupakan penyanyi paling kaya pada tahun 1994.
Pada masa yang sama, Ella merupakan Duta kepada Badan Kebajikan Yayasan
Kebajikan Negara dan beliau turut mengadakan Konsert Ella USA Jelajah
Malaysia yang bertujuan untuk mengumpul dana yang akan disalurkan kepada
badan kebajikan tersebut. Sebagai penghargaan kepada peminat sempena
ulang tahun ke-10 penglibatan Ella dalam bidang seni hiburan tanah air,
pada tahun 1995 beliau mengadakan Konsert Ella Ten Years. Menerusi
konsert tersebut, Ella telah berjaya menyanyi sebanyak 40 buah lagu
tanpa henti. Konsert ini dianggap oleh peminatnya sebagai suatu
pencapaian yang sungguh hebat dan luar biasa yang pernah Ella lakukan
dalam kerjaya seninya.
Ella (1996-1998)
Pada tahun 1996, Ella telah menghasilkan album kompilasi iaitu Demi yang
menghimpunkan lagu-lagu daripada album terdahulu dan sebuah lagu baru,
Demi. Populariti Ella mula suram apabila ketika itu ramainya artis-artis
wanita baru muncul seperti Nurul, Siti Nurhaliza, Nora, Amy Mastura dan
ramai lagi . Namun, Ella terus memperjuangkan karier seninya dengan
penuh teguh dan tabah dalam meneruskan minatnya yang begitu mendalam
terhadap dunia muzik. Pada tahun yang sama, Ella juga telah mengadakan
Konsert Demi Jelajah Malaysia yang bertujuan untuk mempromosikan album
Demi. Pada tahun berikutnya, Ella telah menghasilkan album kompilasinya
yang berjudul Kompilasi – Lagi Gempaq, sebuah lagu baru, Jalan Ke Sisimu
yang menjadi single pada tahun itu. Tetapi populariti Ella tetap suram
meskipun mempunyai single yang agak popular ketika itu. Pada 1998,
populariti Ella mula menyinar kembali apabila beliau dipilih menjadi
penyanyi lagu tema Sukan Komanwel 1998 yang julung kalinya diadakan di
Malaysia. Standing In The Eyes Of The World, lagu tema sukan bertaraf
dunia tersebut begitu popular apabila ia kerap kali disiarkan di TV dan
radio. Ia melonjakkan nama Ella sebagai penyanyi Asia pertama yang
menjadi penyanyi lagu tema untuk sukan tersebut.
Zaman Kebangkitan Semula (1998-1999)
Populariti Ella mula menyinar kembali apabila beliau telah dipilih untuk
menjadi penyanyi lagu tema Sukan Komanwel 1998 yang berjudul Standing
In The Eyes Of The World kerana Malaysia telah dipilih untuk menjadi
tuan rumah ketika itu. Ella merupakan satu-satunya artis Malaysia yang
dipih untuk menjadi penyanyi bagi lagu tema tersebut.
Usahawan yang berjaya
Setelah berjaya mencipta nama di bidang seni, akhirnya Ella berjaya
menceburi bidang perniagaan yang menjadi impiannya selama ini. Beliau
telah membuka beberapa syarikat hasil usaha beliau sendiri. Antaranya
ialah seperti Ella’s Production, Ella Inc’s Sdn Bhd. dan Syarikat Ombak
Warna Sdn Bhd. Sehingga kini, beliau merupakan antara usahawan yang
berjaya di Malaysia dan dianggap antara artis bertaraf usahawan paling
berjaya. Sebelum ini, Ella telah menguruskan pelbagai perniagaan seperti
mengimport dan mengeksport produk yang telah diuruskan oleh syarikat
miliknya. Beliau juga mengeluarkan produk kecantikan dan kesihatan yang
menggunakan jenama dengan nama beliau sendiri iaitu ELLA. Produk
tersebut telah mendapat sambutan hangat sehinggalah ke negara jiran
seperti Singapura, Indonesia dan Brunei.
Sumber : http://www.budiey.com/profile-ella-ratu-rock-malaysia/